Thursday, August 16, 2018

Apakah nilai etika orang Jepun yang dimaksudkan Tun Mahathir?


Perdana Menteri Malaysia ke-tujuh yakni Tun Dr Mahathir Mohamad dalam ucapannya dalam satu majlis bersama rakyat Malaysia di Jepun pernah berkata bahawa beliau yakin Malaysia akan berjaya seperti negara matahari terbit itu sekiranya rakyat Malaysia memiliki etika pemikiran dan sistem nilai seperti orang Jepun. 



Pertama sekali, mengapa negara Jepun dan apakah nilai etika yang telah diterapkan oleh orang Jepun sehingga digembar-gemburkan oleh Tun Mahathir dengan begitu yakin bahawa sikap yang akan diterapkan itu dapat menjadikan rakyat Malaysia duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi setanding dengan negara Jepun itu sendiri. 



Seperti yang diketahui ramai, Jepun ialah sebuah negara yang dipenuhi dengan warga yang penuh adab dan tatatertib. Kecantikan budaya secara tidak langsung akan melahirkan pembentukan diri yang cantik. Antara perkara yang kita boleh belajar daripada negara Jepun ialah murid-murid Jepun mencuci sekolah mereka setiap hari selama 15 minit bersama guru mereka dan membentuk generasi Jepun yang bersederhana dan menjaga kebersihan. Warga Jepun yang membawa anjing berjalan-jalan mesti membawa beg plastik untuk membawa pulang najis anjing mereka. Kesungguhan menjaga kebersihan adalah sebahagian daripada etika bangsa Jepun. Pekerja kebersihan di Jepun dipanggil “Jurutera Kesihatan” dan boleh meminta gaji sehingga USD 5000 ke USD 8000 sebulan dan mereka harus menghadapi ujian bertulis dan ujian lisan sebagai temuduga. 



Selain itu, Jepun tidak mempunyai sumber semula jadi, dan mereka terdedah kepada ratusan gempa bumi setahun tetapi itu tidak menghalang negara ini daripada menjadi antara ekonomi terbesar di dunia. Hiroshima kembali berkembang pesat menjadi pusat ekonomi hanya dalam masa 10 tahun selepas peristiwa kejatuhan bom atom. Penggunaan telefon bimbit dilarang dalam keretapi dan restoran. Pelajar sekolah rendah tahun pertama sehingga tahun keenam perlu belajar etika berurusan dengan orang lain. Walaupun negara Jepun merupakan salah satu negara terkaya di dunia tetapi mereka tidak mempunyai pembantu rumah. Ibu bapa bertanggungjawab dalam pengurusan rumah dan kanak-kanak. 



Di samping itu, tiada peperiksaan untuk pelajar sekolah rendah tahun pertama sehingga tahun ketiga kerana matlamat pendidikan mereka adalah untuk menanamkan konsep dan pembentukan peribadi, bukan hanya peperiksaan dan indoktrinasi. Purata kelewatan kereta api di Jepun ialah 7 saat setahun. Mereka amat menghargai nilai masa dan sangat menepati masa sehingga ke tahap minit dan saat. Anak-anak Jepun membersihkan gigi mereka selepas makan di sekolah; Mereka menjaga kesihatan dari usia muda. Pelajar diberi masa setengah jam untuk menghabiskan makanan supaya penghadaman berjalan lancar. Apabila ditanya mengenai situasi ini, mereka berkata: Pelajar-pelajar ini adalah masa depan Jepun.



Menurut Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Zoraida Mustafa, sejak dasar pandang ke timur diperkenalkan 37 tahun lalu, Malaysia sudah membangun dengan pesat secara fizikal, khususnya dalam bidang teknologi. Namun, katanya apa yang masih kurang diberi perhatian adalah pembangunan kemanusiaan. "Apabila kita bercakap mengenai Jepun, mereka sangat memberi penekanan terhadap pembangunan kemanusiaan. "Ia tidak berlaku dalam sehari. Tetapi mereka sudah menerapkan dalam pendidikan sejak 200 tahun dahulu. "Falsafah menteri pendidikan mereka adalah, Jepun tidak boleh menjadi negara maju sekiranya rakyat berada di minda kelas ketiga,".



Seterusnya, nilai utama yang diamalkan oleh orang Jepun dipanggil 'Omoiyari', iaitu konsep interaksi antara masyarakat yang memiliki nilai seperti bertimbang rasa, belas kasihan dan perasaan empati. "Sebab itu kalau kita tengok orang kata orang Jepun menepati waktu, orang Jepun pembersih, orang Jepun sangat cermat buat kerja. "Tetapi dari mana asalnya ketepatan waktu itu? dari mana asalnya kebersihan itu? Asalnya adalah dari satu perasaan untuk memudahkan orang lain," kata Dr Zoraida. Tambahnya lagi, budaya ini sudah diterapkan dalam semua lapisan masyarakat, termasuk pemimpin dan peniaga di Jepun. 



"Apa yang saya boleh kongsikan, Jepun bukan negara Islam, tetapi hal cuti membesarkan anak diberi dua tahun cuti dengan gaji berbayar. "Kenapa? Mereka percaya dua tahun pertama anak itu adalah sangat penting untuk kesihatan anak. Mereka percaya ini adalah untuk pembangunan negara, kerana anak-anak ini akan membawa negaranya ke depan lagi, dan syarikat mengambil inisiatif ini," katanya. Jelas Dr Zoraida, semuanya bermula dengan diri sendiri, dan apabila berbincang tentang pembangunan negara, apa yang perlu diutamakan mengenai sebarang keputusan adalah bagi kebaikan rakyat.



Oleh itu, sebagai rakyat Malaysia yang sedang menuju ke arah Wawasan 2020 serta sedang dalam proses mengimplimentasikan suasana Malaysia baru sejak pelantikan Tun M sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-7, mentaliti rakyat Malaysia perlulah dipupuk sejajar dengan falsafah menteri pendidikan Jepun iaitu mentaliti rakyat Jepun yang menjadi tunjang utama sesebuah negara yang maju. Rakyat Malaysia juga boleh menjadikan amalan dan sikap-sikap positif orang Jepun sebagai contoh untuk diimplementasikan dalam kehidupan seharian. 




0 comments:

Post a Comment